Labels

Monday, February 6, 2012

Senaman Ketika Mengandung




Senaman ketika hamil mempunyai banyak manfaat. Senaman ketika mengandung mampu untuk meningkatkan stamina bakal ibu. Banyak kajian menunjukkan senaman membantu memudahkan proses bersalin kerana wanita ada tenaga kuat untuk meneran dan menolak bayi keluar.

Apabila bersenam, aliran darah menjadi lebih lancar. Maknanya lebih banyak oksigen dihantar ke otak dan seluruh badan yang membuatkan wanita berasa lebih segar dan bertenaga. Malah, organ badan juga berfungsi dengan lebih baik.
Bersenam juga dikatakan antara cara yang dapat digunakan untuk mengatasi masalah kurang selera makan yang dihadapi sesetengah wanita hamil. Ini kerana badan menggunakan banyak tenaga ketika bersenam yang secara tidak langsung memperbaiki selera makan seseorang bagi menggantikan balik tenaga yang digunakan.
Wanita hamil boleh melakukan senaman pada bila-bila masa mengikut kesesuaian jadual waktu harian masing-masing sama ada pagi, tengah hari atau petang. Senaman pagi dan tengah hari boleh dilakukan selama 15 hingga 30 minit mengikut kemampuan. Kadar denyutan nadi pula jangan lebih daripada 120 hingga 140 seminit (normal 100 hingga 110 denyutan seminit).
Jenis senaman pula mesti bersifat lembut dan sederhana seperti yoga, pilates, senaman keseimbangan badan, tai chi, berjalan dan berenang. Ia bukan saja lembut, tetapi turut memberi penekanan kepada teknik pernafasan yang sangat penting, khususnya kepada wanita hamil.
Perkara asas senaman ketika hamil ialah secara sederhana. Jangan bersenam melebihi 45 minit dan berhenti jika terasa tidak selesa untuk mengelak masalah kepanasan berlebihan. Kepanasan berlebihan menjejaskan aliran darah ke rahim dan meningkatkan risiko kekurangan air dalam badan. Jadi wanita perlu minum banyak air ketika dan selepas bersenam.
Senaman yang perlu dielak ialah:
* Berlari atau berjoging.* Senaman regangan keterlaluan.* Senaman yang menekan atau memberi tekanan pada perut.* Angkat berat.* Gerakan pusingan pinggang.
Untuk mengetahui kaedah senaman betul, ada baiknya anda menyertai kelas atau program senaman direka khusus bagi wanita hamil. Selepas mendapat tunjuk ajar, ia boleh dipraktikkan di rumah dengan diselangselikan senaman aerobik yang biasa dilakukan seperti berjalan cepat, berbasikal, menari atau berenang.
Program senaman wanita hamil memberi penekanan kepada latihan menguatkan otot, khususnya otot perut. Mereka juga diajar teknik pernafasan dan paling penting, pergerakan senaman yang perlu dielak ketika hamil.


Bila boleh mula bersenam? Tiga atau empat minggu kehamilan, dimulakan dengan kadar perlahan, terutama bagi wanita yang tidak pernah bersenam sebelum hamil.
Jika anda menyertai program senaman, jurulatih akan merangka jenis senaman yang sesuai dengan keperluan setiap individu supaya senaman lebih berkesan dan mengelak kecederaan atau boleh membahayakan kandungan.
Bersenam selepas bersalin juga penting untuk meningkatkan tenaga, mempercepatkan penyembuhan luka dan mengembalikan bentuk badan asal.
Senaman boleh dilakukan enam minggu selepas bersalin (bagi yang bersalin normal). Jika bersalin secara pembedahan, pastikan luka bedah benar-benar sembuh (biasanya antara empat hingga enam bulan) dan paling penting dapatkan nasihat doktor terlebih dulu. Walaupun bersenam ketika hamil banyak manfaatnya, bukan semua orang boleh melakukannya.
Jika tidak berpeluang ke pusat senaman atau gimnasium, anda masih boleh bersenam di rumah. Senaman paling selamat dan bermanfaat ialah berenang, berjalan cepat, mengayuh basikal statik (dalam rumah) atau menari. Setiap orang tahu had diri sendiri. Lakukan senaman sekadar yang anda mampu. Bila anda aktif, secara tidak langsung anak juga jadi sihat. Sentiasa ingat untuk memakai pakaian dan kasut sesuai untuk bersenam untuk mengelak kecederaan dan minum banyak air.

1 comment:

  1. Senaman semasa hamil mmg sgt penting....doc ckp boleh cepat bsalin...paling kurang pun bjalan bnyk...cam sy siap jln atas trademil lg...huhu

    www.mummysayf.blogspot.com

    ReplyDelete